Monday, September 22, 2008

..CERPEN LAGI!!..

BISMILLAHIRAHMANIRAHIM...
ASSALAMUALAIKUM W.B.T....
Tengok tittle post pun cam dah tahu jek ape topik untuk entri kali ni..Walaupun dah janji tak nak buat cerpen lagi tapi,adusshh tak boleh lar..Selagi mana ada peluang dan ruang untuk saya sebarkan kebenaran,Shadatul Haq ini maka akan saya gunakan sekalipun terpaksa memeras otak,tenaga dan hati..Apalagi,saat cerpen itu ditulis hati terasa sangat kering hingga bila berdating dengan Allah pun dah tak mampu nak menangis untuk meluahkan rasa hati..Ya ALLAH,bantulah aku kembali kepadaMU!.....
InsyaAllah,cerpen ini juga lahir dari hati..Dipublishkan untuk majalah kolej..hayatilah..
..RAMADHAN ITU..
BY: KHAZINATUL ASRAR.
“Syafiqah,hang nak pi bazaar dak ari ni”..

“Buat ape?..Hari-hari pergi bazaar,bukan ada benda sangat pun.Aku banyak kerja kot.”

“Alar kalau tak pegi beli pun takpe dapat cuci mata,tengok senior hensem-hensem.Eeeiii..”

“Alar,kalau setakat nak tengok muka hangus abang yang jual burger tu,baik tak payah. Baik aku siapkan lab report lagi bagus!.” Pedas Syafiqah membalas.

“Lantak kau ar.” Hanya itu yang mampu dibalas oleh roommate nya.

Selesai berbuka hari itu,Syafiqah kembali menghadap laptopnya sambil radio Hot fm menjadi teman setia untuk menghiburkan suasana sunyi di biliknya. Apatah lagi pada waktu itu kebanyakkan penghuni blok ke Masjid yang terletak di depan pintu masuk Universiti Kebangsaan Malaysia itu. Bagi kebanyakan pelajar,Ramadhan atau tidak tiada maknanya kerana assignment yang diterima dari pensyarah-pensyarah tetap bertimbun. Jadi, mahu tidak mahu kebanyakkan masa yang ada dihabiskan untuk menyiapkan kerja-kerja yang tertangguh. Paling teruk,ada yang menganggap bulan Ramadhan ini hanya memenatkan kerana terpaksa berpuasa pada siang hari dan terpaksa pula bangun awal untuk sahur.

“ Ku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna,

Agar dapat ku lalui dengan sempurna...”

syafiqah membentuk-bentukkan mulutnya mengikut rentak lagu tersebut,Harapan Ramadhan oleh Manbai dan Raihan. Dia menyanyi-nyanyi kecil sambil tangan laju menaip Lab Report Kimia yang perlu di hantar esok pagi. Dia sudah boleh membayangkan muka lecturer kimianya andai report itu tak sampai ke tangannya esok..

“Selangkah demi selangkah,
Setahun sudah pun berlalu,
Masa yang pantas berlalu,
Hingga tak terasa ku berada di bulan ramadhan”..


Lirik lagu itu mengetuk-getuk pintu hatinya. Walaupun,dia secara luarannya kelihatan brutal dan rock,namun jauh di sudut hatinya dia adalah seorang yang sangat sensitif.Bila membicarakan soal ketuhanan hatinya selalu teringin untuk mengetahui lebih lanjut,namun selama dia menapak di bumi ini tidak ada yang sanggup menunjukkannya jalan yang lurus itu. Ini ditambah lagi dengan latar belakang keluarganya yang tidak begitu menghiraukan soal agama.Bagi mereka agama itu hanya diambil bila berada dalam masjid,time nak kahwin dan time nak mati. Saat-saat begini,sendirian dibilik , sangat-sangat mengingatkannya pada perjalanan hidupnya. Tiada apa yang istimewa sepanjang laluan itu sekadar melalui banyak duri dan ranjaunya. Namun,siapa sangka,pada Ramadhan kali ini sesuatu yang istimewa menantinya,lantas merubah hidupnya menjadi lebih bermakna.

Saat syok-syok memikirkan conclusion and evaluation untuk reportnya,terdengar sayup-sayup azan yang menandakan masuknya waktu isyak dan sekejap lagi solat tarawih akan bermula. Hatinya tersentuh.

“Tadi aku tak solat maghrib pun apsal pulak aku rajin sangat nak pergi solat tarawih ni??.Hatinya berkira-kira sendiri..

“Erm,nak pegi ke tak??..Pergi jelah kot,boleh berlagak alim sikit tak pun boleh tengok-tengok siapa yang jadi imam solat..Mana tahu ada chance jadi pakwe aku..Hihihi..”Dia tergelak sendiri.Bagaikan ditarik-tarik,hatinya tergerak untuk menapak ke masjid,walaupun masjid itu terletak agak jauh dari kolej kediamannya.

Sampai di masjid,solat telah pun bermula. Syafiqah mengeluarkan telekung dari beg sandangnya dan kerana mahu cepat,di sarungnya telekung itu sambil berjalan. Tiba-tiba, “Kedebuk!!”,oh tidak! Seseorang telah menjadi mangsa ‘accident’ lantaran kekalutannya.Syafiqah cepat-cepat mencari lubang muka telekungnya dan alangkah terkejutnya dia apabila mendapati dia telah melanggar seorang kakak dan menyebabkan dahinya terhantuk ke bucu almari yang terletak di bahagian belakang masjid itu. Pucat mukanya melihat darah mengalir dari dahi kakak itu.

“Alamak! Matilah aku,mesti akak ni mangamuk punya.” Tanpa memburukkan keadaan dia cepat-cepat membantu kakak itu bangun dan segera meminta maaf. Di fikirannya mula tergambar tindakan-tindakan agresif yang akan dilakukan oleh kakak itu untuk membalas perbuatannya,paling kurang bolehlah dia merasa penampar jepun kakak tu tak pun ledakan ‘pop corn’ yang selalu dilihatnya di pasar-pasar malam. Namun,aneh,kakak itu sekadar tersenyum tanpa memarahinya apalagi nak meletakkan tangan di pipinya dengan keras.

“Takpe,takpe,takde pape pun,pergilah solat,akak pergi tandas ,kejap lagi ok lar tu.” Pantas akak itu menjawab apabila tangan Syafiqah cuba untuk menyentuh luka di dahinya. Syafiqah kaget.

“Pelik bin ajaib,manusia ke dia ni?. Kenapa dia tak marah?. Kalau orang lain dah lama aku kena saman kot.” Dengan kepala yang penuh dengan persoalan, Syafiqah menunaikan solat isyak secara express dan tunggang langgang untuk mengejar imam yang sudah berada di rakaat kedua kerana tidak tahu untuk menjadi makmun masbuk.

Selesai solat isyak, Syafiqah berpaling ke kanan untuk bersalaman dengan makmun-makmun lain. Memang aturan Allah,kakak yang dilanggar tadi berada di sebelahnya. Dipandangnya wajah kakak itu,ada cahaya yang melingkari wajahnya. Sempat dia berbual-bual sekejap dengannya lebih-lebih lagi berkisar tentang kejadian tadi. Sebelum sempat melanjutkan perbualan,bilal mula melaungkan selawat tanda solat tarawih akan bermula sebentar lagi. Sepanjang tarawih, Syafiqah tidak boleh meletakkan hatinya hadir bersama solat itu apatah lagi apabila mendengar bacaan imam solat yang monotonous,hatinya meronta-ronta agar solat itu habis cepat. Sepanjang solat dia hanya mengikut pergerakan orang lain sambil mem’observe’ kelakuan makmun lain ketika solat.Tiba-tiba dia mendengar ada esak-esak kecil dari makmun disebelah kanannya. Dia terfikir, bagaimana manusia boleh menangis kerana khusyuk dalam solat.Baginya khusyuk itulah adalah suatu tingkat yang sangat impossible untuk dicapai olehnya lantaran ketika solat fikirannya melayang-layang memikirkan perkara-perkara duniawi ;memikirkan cara untuk menyiapkan assignment yang berlambak-lambak paling kurang membayangkan rupa hensem lelaki yang pernah hadir dalam hidupnya.

Selesai lapan rakaat solat tarawih, Syafiqah mengensot-gensot ke belakang menjauhi saf solat. Kakak itu memandangnya sambil tersenyum lantas turut mengundurkan dirinya ke belakang. Akak itu memulakan perbualan.

“ Penat ke?,” lembut kakak itu bertanya sambil mengurut-urut tangan Syafiqah.

“ Penatlah juga,”.

“Takpe,buat sikit-sikit,lama-lama insyaAllah biasa,”.

“Saya tak pernah pun solat tarawih sebelum ni,tak tahu kenapa hari ni tiba-tiba je rasa nak datang solat.Sebelum ni dengar je orang cerita pasal solat tarawih,tapi tak tahu pun apa kebendanya tu,bila datang hari ni barulah dapat gambaran sikit.” Syafiqah mula berani bercerita. Padanya,kejujuran dan kebaikan akak itu melayannya menyenangkan hatinya.

“Alhamdulillah,syukurlah pada Allah yang maha mengetahui.Pasti ada hikmah kenapa Allah tiba-tiba membuka hati adik untuk datang solat hari ni.”

“Hmmm,mungkin juga.Lupa pula nak tanya,siapa nama akak?.Dari tadi lagi kita berborak tapi tak tahu nama. Luka akak tadi ok ke? .Saya minta maaf sangat-sangat sebab cuai.”.

“ Ish,tak ada apa-apa pun. Allah Cuma nak uji akak je tu. A’ar lupa pula nak bagitahu nama penuh akak Intan Syuhada,panggil Kak Intan je. Biar akak teka nama adik,hmm...Shafiqah kan?”.

“Ha?! Macam mana akak tahu ni?.” Syafiqah kepelikan.

“ Instinct!.”

“ Ish,dahsyat! Akak ada sixth sense ke?. Nama orang pun boleh teka-teka ikut instinct er? Waa,hebaat!.” Syafiqah ter’impress’ dengan kehebatan Kak Intan memperdayakannya.

Sebenarnya Kak Intan terlebih dahulu mengetahui nama Syafiqah apabila terlihat label namanya yang dilekatkan di beg sandang sewaktu peristiwa langgar-melanggar tadi.

“ Hihihi,dahlah. Jom kita sambung solat.” Kak Intan mengajak Syafiqah setelah melihatnya kembali bertenaga untuk meneruskan solat tarawih.

Selesai solat,orang ramai berpusu-pusu menikmati moreh yang disediakan oleh pihak masjid. Kesempatan ketika menikmati moreh itulah digunakan oleh Kak Intan untuk bercakap-cakap dengan Syafiqah. Syafiqah tidak lagi segan bagaikan mereka sudah lama kenal. Dia sangat selesa kerana Kak Intan yang lembut itu boleh menerima perangainya yang agak kasar itu. Perbualan mereka malam itu banyak berkisar mengenai latar belakang diri dan keluarga masing-masing,sememangnya ukhuwah akan wujud bila kita berusaha mengenali seseorang itu dengan lebih jauh. Di akhir pertemuan, sempat mereka bertukar-tukar nombor telefon untuk memudahkan perhubungan.

Sejak hari itu, setiap malam Syafiqah menghadirkan dirinya ke masjid pada waktu solat tarawih. Walaupun secara jujurnya, dia sendiri tidak mengerti akan kepentingan solat tarawih mahupun kelebihan yang ada pada Ramadhan itu sendiri,keseronokan berjumpa dengan Kak Intan telah mendorongnya untuk terus ke masjid. Bagaikan ada sesuatu yang menarik dia untuk berjumpa dengan Kak Intan. Ya,sesuatu yang tak dijumpai pada diri orang lain mahupun dalam ahli keluarganya sendiri iaitu ruh seorang muslimah. Syafiqah adalah manusia yang sangat bertuah, dia dikurniakan dengan akal yang cerdas berbanding dengan adik beradiknya yang lain. Dia layak untuk meneruskan pengajian dalam bidang perubatan namun ditolaknya tawaran itu dan membuat keputusan untuk menyambung pelajaran mengikut minatnya iaitu dalam jurusan kimia. Sifat ingin tahunya selalu membawanya kepada persoalan-persoalan agama namun disebabkan tiada siapa yang mahu memberikan jawapan yang dicari-carinya,persoalan itu hanya dibiarkan berlonggok dalam kepalanya. Sehinggalah pada suatu malam dia memberanikan diri untuk bertanyakan soalan-soalan ini kepada Kak Intan.

“Akak,betul ke Allah itu wujud?”. Dengan muka seposen dia menuturkannya.

“ Kenapa tanya macam tu?.Maksud akak,tak ramai orang yang ragu-ragu sudi bertanya kerana bagi mereka hanya budak-budak je yang akan tanya soalan-soalan macam ni. Namun hakikatnya,dari kecil lagi kita tak ditanamkan dengan keyakinan bahawa Allah itu ada tapi yang ditanamkan di hati kita ialah pengetahuan bahawa Allah itu wujud. Sehinggga kita meningkat dewasa kita Cuma tahu bahwa Allah itu ada tanpa pernah merasai kewujudan Allah. Inilah yang menyebabkan kita tanpa sedar telah mengambil benda-benda lain sebagai tempat pergantungan menggantikan Allah.” Sambil tersenyum Kak Intan menyambung “Keyakinan bahawa Allah itu wujud perlu disemai dalam hati kita dan memang ia bukan mengambil masa yang singkat. Even,Rasulullah sendiri mengambil masa selama 13 tahun untuk membentuk aqidah sahabat-sahabat di Makkah sehinggalah yang terhasil daripada usaha baginda adalah sahabat-sahabat yang dalam hatinya bersih daripada pergantungan kepada benda-benda selain Allah.”

“Bukti-bukti kewujudan Allah itu terlalu banyak. Sebagaimana Firman Allah dalam surah As-Sajdah ayat 2 dan 3:

“Turunnya Al-Quran itu tidak ada keraguan padanya,(yaitu) dari Tuhan seluruh alam. Tetapi mengapa mereka (orang kafir) mengatakan “Dia (Muhammad) telah mengada-adakannya.” Tidak, Al-Quran itu kebenaran yang datang dari Tuhanmu, agar engkau memberi peringatan kepada kaum yang belum pernah didatangi orang yang memberi peringatan sebelum engkau; agar mereka mendapat petunjuk”.

Lihat saja pada penciptaan al-Quran,isi kandungannya dari dulu sampai sekarang,sudah lebih seribu tahun masih tidak berubah.Bahkan quran yang dibaca di timur sama dengan quran yang dibaca di barat,bukankah itu bukti bahawa ada suatu kuasa yang mengawal semua itu?.”

Syafiqah terangguk-angguk dan terus setia mendengar.

“Lihat pada penciptaan manusia,proses kejadian manusia yang Allah jelaskan seribu tahun dulu hanya mampu dibuktikan melalui kaedah sains hanya pada abad ini.Jadi adakah makhluk yang boleh memikirkan semua itu lama dulu?.Alihkan pandangan sejenak kearah penciptaan langit dan bumi,bagaimana Allah meninggikan langit dan menahannya agar tidak jatuh serta bagaimana Allah menghamparkan bumi ini hingga kita bebas ke sana ke mari, bukankah semua itu menunjukkan kebesaran Allah?.” Satu persoalan dilontarkan.Persoalan yang menuntut akal kita berfikir.

Sememangnya untuk merasai kewujudan Allah kita perlu melihat tanda-tanda kebesaran Allah dan berfikir.Walau bagaimana pun,berfikir dalam islam ada hadnya iaitu tidaklah sampai memikirkan zat dan kejadian Allah.

Sejak pertemuan itu berlansung, Syafiqah dapat merasakan sesuatu yang hilang dari jiwanya kembali semula. Dia dapat merasakan hidupnya tidak lagi kosong. Kalau dulu dia tidak pernah memikirkan mengenai kewajipan solat,menutup aurat,menjaga pergaulan dan semua syariah agama yang sepatutnya dilakukan oleh seorang muslim. Kini,dia mula merasakan bahawa memang ada sesuatu kuasa yang mengawal hidupnya,mengatur setiap kejadian dalam hidupnya. Dia mula dapat merasai kewujudan Allah dalam hidupnya. Disebabkan perasaan itulah dia sedikit demi sedikit mula berubah,kalau dulu tudung hanya perhiasan menutup rambut sekarang ia sudah menjadi satu keperluan dan solat fardu mula dilaksanakan tanpa tinggal. Perubahan itu barangkali kecil di mata orang-orang yang tidak mengerti namun baginya dia mengerti Allah maha melihat pada usaha hambanya bukan hasilnya.

Hujung minggu itu,dengan bertudung litup menutupi rambut dan dadanya serta berbaju kurung,dia pulang ke rumah untuk melepaskan kerinduannya pada mummy dan daddynya.

“Assalamualaikum” Syafiqah mula melangkah ke muka pintu.


“Wa’alaikumussalam”, satu suara menyahut. “Mummy, adik dah........”,kata –kata itu terhenti.

“Hai abang!”, jerit Syafiqah.

“Eh, ini Syafiqah adik abang ke nie? Sejak bile pulak kau mula pakai baju dan tudung gaye baru macam nie? Teringin nak jadi ustazah ke? Dunia nak terbalik ke apa ni?.Setahu abang Syafiqah yang abang kenal tak pakai baju-baju macam ni,kolot!.” Pedas kata-kata itu menusuk ke telinga Syafiqah.

Belum sempat syafiqah menjawab,abangnya kembali menyambung “ tak payah kau nak pakai baju-baju macam ni,orang macam kita ni memang tak layak masuk surga punya!”.

Syafiqah sebak. Kolam matanya membuak kepanasan.

“Oh my god! What’s happen?? Are you ok?? Baju apa kau pakai ni Syafiqah? Ish,pergi tukar cepat! Rimas mummy tengok dah macam mak arab sesat kat Malaysia”.


Pilu hatinya mendengar bicara abang dan mummynya. Berat kakinya melangkah masuk ke bilik dan terus menghempaskan tubuhnya ke katil. Air mata itu tumpah lagi.

Dia bermonolog sendiri “ Salah ke apa yang aku buat? Salah ke kalau aku berusaha nak jadi hamba Allah yang mengabdikan diri padaNYA? Salah ke Ya Allah??”.

Malam itu, usai solat maghrib mummynya meluru masuk ke biliknya. Syafiqah yang sedang melipat telekungnya terkejut apabila mummynya tiba-tiba melemparkan gaun malam ke atas katilnya.

“ Kau pakai ni. Malam ni mummy dan daddy ada dinner kat rumah Datuk Syafiq. Ramai kawan-kawan mummy datang,kau jangan nak malukan mummy dengan baju kurung kau tu.” Arahan berbau amaran keras menerpa dendang telinganya. Mummynya terus keluar selepas arahan itu diberikan.

Syafiqah menyentuh baju itu, hatinya menolak daripada memakainya. Namun amaran mummynya tadi sedikit sebanyak mengetarkan hatinya. Di sarungnya baju itu. Wow! Seksa! Ditariknya baju itu agar menutupi dadanya. Tapi bila yang depan ditarik yang belakang pula tersingkap. Semuanya serba tak kena! Air matanya tumpah lagi.

Malam itu dihabiskan dengan hatinya menanggung kesakitan yang amat. Perubahan yang baru sahaja nak dimulakan sekelip mata di runtuhkan oleh keluarga sendiri. Hatinya resah.

“Kenapa begini jadinya?.Kak Intan cakap Allah akan sentiasa membantu hambaNYA yang nak kembali kepadaNYA. Mana janji-janji itu?? Betulkah Allah itu ada?.Kenapa aku tidak ditolong?.Baik aku jadi balik macam dulu.”

Sejak hari itu syafiqah kembali kepada kehidupannya yang lampau. Dia telah hilang keyakinan untuk berubah. Baginya tiada harapan lagi untuk orang-orang sepertinnya berubah. Dia berasa amat malu untuk menghubungi Kak Intan yang selama ini cukup akrab dengannya.

Malam ketujuh belas Ramadhan,Kak Intan menunggu-nunggu kedatangan Syafiqah,namun hingga selesai solat witir Syafiqah tetap tidak muncul-muncul. Pada sangkaan Kak Intan,mungkin Syafiqah terlalu sibuk hingga tidak sempat ke masjid. Tiga malam berturut-turut kejadian itu berlaku hingga mengundang kebimbangan Kak Intan. Selama waktu itulah Kak Intan berusaha menghubungi Syafiqah namun nombornya tidak dapat dihubungi. Kak Intan berusaha bertanya pada kawan-kawannya namun ramai yang tak tahu ke mana hilangnya Syafiqah. Syafiqah seolah-oleh mengelak dari berjumpa dengan Kak Intan.

Pun begitu,Syafiqah tetap meneruskan rutinnya sebagai seorang pelajar seperti biasa. Hari ini adalah hari yang amat malang baginya. Pagi tadi dia dimarahi oleh lecturernya kerana tidak meyiapkan assignment yang diberikan. Kejadiannya itu menyebabkan dia menjadi moody dan melepaskan ke’tensionan’nya kepada kawan-kawannya. Sudahnya,mereka semua menjauhkan diri. Dengan fikiran yang kusut dan hati yang kosong syafiqah melangkah tanpa arah tujuan di sekitar kampusnya. Hatinya sarat memikirkan masalah yang dialaminya. Terasa kekosongan dalam hidupnya. Dia telah menutup hatinya untuk merasai kewujudan Allah di setiap masalah yang dilaluinya.

Ketika sedang berjalan-jalan itu,tiba-tiba “PONN!!!!!PONN!!!!!!!!!” satu hon panjang dibunyikan dan diikuti bunyi brek menyedarkan syafiqah dari lamunannya. terasa angin membias ke wajahnya. Hatinya tersentak,terpaku seketika. Dia memandang ke kanan, dilihatnya sebuah lori barang berhenti beberapa sentimeter sahaja sebelum menyentuh tubuhnya. Terasa maut menari-nari di tubir matanya. Tidak dapat dibayangkan nasibnya andai pemandu lori itu lambat membrek tadi.

Dia tidak dapat meletakkan dirinya dalam dunia nyata kerana terlalu terkejut dengan peristiwa tadi. Dengan langkah longai dia berjalan mengikut rentak kakinya hinggalah dia terjelepok di tangga Masjid UKM. Kak Intan yang kebetulan sedang mengadakan perjumpaan mingguan dengan adik-adik UKM terperasan kehadiran Syafiqah. Lantas dia segera meminta diri dan menghampiri Syafiqah yang kebingungan. Apabila terpandang sahaja wajah Kak Intan, Syafiqah segera menyerbu dan memeluk Kak Intan,air matanya mengalir laju tanpa segan lagi.

Tanpa sempat bertanya,Kak Intan memeluknya erat dan mengusap-usap belakangnya. Ukhuwah itu bertaut semula. Kak intan sedar ada sesuatu yang tak kena dengan Syafiqah namun dia tidak mahu terburu-buru bertanya. Selepas tangisannya reda, Syafiqah mula menceritakan satu-persatu peristiwa yang berlaku,bagaimana keluarganya sangat tidak menyukai perubahan yang dibuat. Cabaran-cabaran yang dihadapinya melemahkan semangatnya untuk berubah. Kak Intan terkejut mendengar cerita Syafiqah. Sungguh,Allah telah memberikan ujian yang hebat buat Syafiqah.

“ Adikku Syafiqah,Allah terlalu sayangkan awak sehingga diberikan awak ujian yang begitu hebat. Ujian itu bukan untuk melemahkan semangat awak tetapi untuk menguatkan awak supaya awak sentiasa sedar betapa Allah itu maha kuasa dan hanya kepadaNYA lah awak meminta tolong. Firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 2-3 :

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan , “kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji? Dan sungguh ,kami telah menguji orang-orang sebelum mereka,maka Allah pasti Mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta”.” Pujukan Kak Intan mencairkan hatinya.


“Ujian itu bukti sayangnya Allah kepada hambaNYA. Mana mungkin DIA akan meninggalkan awak sendirian setelah dia memandu awak menemui cahaya itu. Believe me, Allah has brought you to it and HE will guide you trough it.” Laungan azan maghrib menghentikan perbualan mereka.

“ Jom buka puasa. Lepas ni kita solat tarawih sama-sama.Dah,jangan sedih-sedih lagi.” Senyum Kak Intan memudarkan hiba Syafiqah.

Buat pertama kali dalam hidupnya,solatnya pada hari itu sangat khusyuk. Seluruh ketaatan ditumpukan sepenuhnya hanya pada Yang Maha Mendengar. Seluruh jiwa turut ikut rukuk dan sujud bahkan esak tangisnya membuktikan betapa dia bersungguh-sungguh meminta agar Allah Al-Hakim itu memberikan laluan hidup yang terbaik untuknya.

Malam itu,tidurnya lena sekali. Hujan lebat dan ribut di luar tidak lansung menganggu tidurnya,tidur yang paling nyenyak setelah hatinya kembali diserahkan kepada Allah Yang Maha Tinggi. Ia bukan sekadar tidur kosong,tidurnya kali ini didatangi mimpi yang indah,sebuah janji yang Allah akan sentiasa bersama dengannya selagi dia masih berpegang teguh dengan tali Allah. Di dalam mimpinya, Syafiqah melihat dia berada dalam sebuah tempat yang gelap dan berlumpur. Seringkali dia ingin keluar dari lumpur itu namun percubaannya setiap kali tidak Berjaya. Dia menjerit,meminta tolong kalau-kalau ada yang sudi membantunya. Namun sayang sekali,di tempat gelap itu semua orang terperangkap dengan keasyikan lumpur masing-masing. Tiba-tiba ada satu cahaya yang bersinar dalam gelap tempat itu,cahaya itu semakin lama semakin dekat. Perlahan-perlahan cahaya itu menghampirinya dan menariknya sedikit demi sedikit keluar dari lumpur itu. Dia terus mengembara bersama cahaya itu meninggalkan tempat itu ke tempat yang lebih cerah. Di situ dia melihat wajah-wajah yang bercahaya menantinya dengan senyuman. Bersedia menghulurkan tangan menyambutnya dengan mesra.

Syafiqah terjaga dalam senyuman. Sebuah mimpi yang dikurniakan Allah lantaran ketabahannya. Sebuah hadiah sempena Ramadhan. Berbekalkan tunjuk ajar Kak Intan sepuluh malam terakhir Ramadhan itu dihabiskan sebaik mungkin,bimbang kalau-kalau tidak sempat bertemu ramadhan akan datang. Tawaran Allah untuk pembebasan hamba-hambaNYA dari siksa api neraka direbut sebaik mungkin. Bulan yang diberkati membawa bersama rahmat yang bertimbun umpama jualan murah setahun sekali. Mana mungkin peluang merebut pahala itu boleh disia-siakan. Ramadhan ini, membawa bersama seribu erti dalam hidup Syafiqah,lantas memberikan kemenangan yang besar buat dirinya.
.
MONOLOG PEMBACA:
Pembaca 1: "Ish..ish...Aku rasa cam ada sumthing jek ngan cite ni..Mysterious betul ar!!"..
Pembaca 2: "Perrr...AGAK AR!!"..
MONOLOG PENGARANG:
Ku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna,
agar dapat ku lalui dengan sempurna,..
Lirik lagu itu mengetuk-getuk pintu hati saya..Terlalu bermakna bahkan menjadi lagu tema ramadhan kali ini..Ramadhan ini madrasah iman,membentuk taqwa..Sakit yang membengkak dulu mula terubat dengan kebestan ramadhan ini.. Namun,terbentuk taqwa dalam diri jika ramadhan ini banyak dihabiskan dengan membuat kerje-kerje duniawi??...Mintak dijauhkan Ya ALLAH...AMPUNKAN AKU...
nota kaki@tangan: Nak buat cerpen lagi x??..hmmmm..selagi boleh menyebarkan kalimah kebenaran ini biar tak tidur malam membuatnya kerana mungkin ada hati yang terbuka membacanya..